Saturday, May 29, 2010

Syafakillah..

Sabar...sabar... sakit itu kafarah dosa.. nak tambah pahala kan? Jadi sabar ketika sakit...

Monday, May 10, 2010

Satu Kerinduan, Sebuah Kasih Sayang..

Bismillah...

Pada suatu hari di dalam sebuah komuter yang menuju ke stesen komuter Seremban, ada dua orang akhwat merangkap murobbiyah sekolah dalam perjalanan pulang ke medan masing-masing sedang berhimpit-himpit dengan orang ramai yang juga menggunakan kemudahan komuter itu. Dikesempatan itu waktu yang ada, mereka gunakan untuk berkongsi pengalaman dan strategi dakwah di medan masing-masing..

Akhwat ini sangat sayangkan anak-anaknya, hinggakan setiap kali berjumpa pasti ia akan menyebut-nyebut perihal anak-anak halaqahnya..

"Ish..tak sabar kite nak jumpa anak-anak halaqah kite petang ni.."

"Enti buat halaqah juga petang ni? Sempat ke sampai?"

"Ha'ah, ana buat jugak. Kalau tak sempat, datang sekejap ziarah pun tak pe..Kite dah rindu sangat kat diorang ni.."

"Ukhti, setiap kali ana jumpa enti pasti enti akan cerita tentang anak-anak enti.. Mesti diorang pun sayang sangat pada enti kan? Ana boleh nampak time IIC lepas.."

..................................................

Pertama kali ana lihat seorang murobbiyah yang sangat committed dan gembira dengan statusnya sebagai murobbiyah sekolah sehinggakan ia terkenal dikalangan akhwat lain yang tersangat sayangkan medan dakwah dan anak-anak halaqahnya.

Betapa sayangnya ia pada medannya sehinggakan jika ia sedang mengatuk dan tiba-tiba mendengar akhwat bercerita tentang medannya, terus celik dan bersinar-sinar matanya.. (^_^)

Untuk mencapai sasaran halaqah, seorang murobbi/ah itu harus bekerjasama dengan anak-anak halaqahnya. Kerjasama inilah yang membuahkan ukhwah Islamiyah yang indah. Betapa ramai orang yang tidak dapat merasakan manisnya ukhwah. Namun dengan menjadi murobbi/ah, seorang Muslim itu berpeluang untuk merasainya.

Daripada Miqdam bin Ma'di Kariba r.a, Nabi saw bersabda.
"Apabila seseorang insan mengasihi saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa ia mengasihinya."
(HR Abu Daud dan al-Tirmizi)


* Tiba-tiba rasa sangat rindu pada anak-anak halaqah. Mudah-mudahan mehnah yang datang segera berlalu pergi..

Satu Senyuman..

Bismillah..

"Ukhti, apa yang enti rasa waktu liqo' subuh tadi?"

"Biasa je.. Kenapa ukht?"

"Tak de la, ana rasa macam tak best. Semua buat riak yang tak best.. Supposedly, bila kita dapat jumpa paling kurang seminggu sekali time liqo' tu, nak juga rasa macam bersemangat, seronok, gembira, rindu... Tapi kalau masing-masing buat muka seposen, moyok je..ana pun jadi tak semangat nak datang.."

"Tak pe la ukht, mungkin mereka penat sangat atau mengantuk atau ada masalah yang perlu difikirkan..Bersangka baik lah.."

................................................................

Dalam buku 'Ringkasan Riyadhus Solihin' susunan oleh Imam Nawawi dan diringkaskan oleh Syaikh Yusuf al-Nabhani terbitan Telaga Biru. Sdn. Bhd cetakan pertama Mac 2010 di bawah bab ke 16 - Hak-hak Kaum Muslim dan Hal-hal yang Berkaitan dengannya..

Muslim meriwayatkan daripada Abu Zar ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda kepadaku:

Maksudnya:"Janganlah sekali-kali engkau meremehkan kebaikan, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria." (Riwayat Muslim no. 2626)

Rasulullah saw adalah orang yang sentiasa menampakkan wajah yang berseri-seri dengan senyuman setiap kali bertemu dengan seseorang.

Wajah yang ceria dan dihiasi dengan senyuman tulusnya amat menyenangkan orang sekeliling. Senyuman wujud hasil dari akhlak dan sikap seseorang. Ia juga merupakan ungkapan perasaan setiap kali menghadapi keadaan yang lucu dan merupakan terapi mengurangkan kepenatan berfikir dan bekerja.

Rasulullah saw bersabda:
"Janganlah terlalu membebankan jiwamu dengan segala kesungguhan hati. Hiburlah dirimu dengan perkara yang ringan dan lucu, kerana bila hati terus dipaksa dengan memikul bebanan yang berat, maka ia akan menjadi buta." (HR. Abu Daud)

Senyuman merupakan cermin daripada kelapangan hati dan kesucian jiwa. Senyuman dapat mencipta suasana damai, bersahabat, ramah dan menyenangkan.

Rasulullah saw sentiasa tersenyum dengan penuh gembira setiap kali menyambut orang baru datan ke majlis baginda sebagaimana yang baginda lakukan ketika menyambut kedatangan Amr bin Yasir. Dengan senyuman, baginda berkata kepada Amr:

"Selamat datang wahai orang yang baik dan tetap akan baik." (HR At-Tirmizi)

Bagaimana pula situasi kita?

Tepuk dada, tanya iman..

Kita sedar, semua orang mempunyai masalah dan kekusutan, namun andai kita dapat bermanis muka bila berjumpa sesama sahabat, pastinya ia suatu sumbangan yang tiada nilai kerana kita melakukan satu sedekah dalam mujahadah melawan belenggu fikiran diri sendiri..

Teringat pula dalam buku Engkau Memang Cantik! Tak perlu memakai kosmetik untuk kelihatan cantik, memadai dengan hanya berbekalkan senyuman yang ikhlas tatkala bertemu akhwat (khusus akhwat saja...kalau ikhwah lain pula ceritanya)

Baginda pernah bersabda:

"Sesungguhnya keramahan itu mengindahkan sesuatu dan apabila dicabut, akan menjadikan nampak buruk." (HR. Imam Muslim)

Senyuman Fatimah yang comel buatkan hati amah ceria..

Friday, May 7, 2010

Bukan Mudah Hendak Ke Syurga...

Dengan nama Allah Maha Pengasih Maha Penyayang..


"Ukhti..pernah tak enti rasa letih dalam meyusuri jalan dakwah ni..?"

"Hmm....Biasa la tu ukht, pasti ana pernah merasainya.. Wajar la kita rasa begitu sebab kita hanya manusia. Manusia yang lemah. Ada ketika iman kita naik, ada ketika iman kita jatuh..

Tapi ukht, itulah hakikat dakwah. Hakikat perjuangan.. Itu yang dikatakan sunnah orang berjuang. Jalan ni sangat perit, susah, dihiasi dengan air mata. Tapi haruslah air mata itu ditujukan kerana takut akan azab api neraka Allah dan bukannya merintih kerana dunia.

Ana sangat suka satu kata-kata ni.. "nak masuk Syurga bukan mudah"...

Ada benda yang perlu kita bayar untuk dapatkannya.. Seperti lirik lagu 'Sunnah Orang Berjuang.'

Ana nyanyikan khas buat enti ye..

Berjuang memang pahit.. Kerana syurga itu manis Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar Bukan sedikit pedih yang ditagih Berjuang ertinya terkorban Rela terhina kerna kebenaran Antara dua jadi pilihan. Dunia yang fana atau syurga..

InsyaAllah, pertolongan Allah itu kan dekat...Yang penting kita berbaik sangka padaNya.. Ana ada satu nukilan yang ana nak dedikasikan buat enti khususnya buat diri ana juga.."

Kaki letih melangkah

Menunggu semangat tersungkur rebah

Helaan nafas lega masih belum terhembus

Titisan dugaan kembali gerimis

Kelelahan ini pedih menghiris

Salju bayu kasihMu ya Allah

Memadam segala keresahan

Hanyut aku dalam dakapan cintaMu


Di hadapan ada hamparan hampa

Di hadapan juga ada musim gembira

Disebalik hutan kesedihan

Tersingkap syurga keceriaan

Tangisan ini menghumban jauh ke jurang duka

Namun di sana ada gelak tawa ria


Sesungguhnya di ribaanmu ada penawar

Pada tiap hibaan hambaMu yang sabar

Setiap analogi kehidupan telah Kau aturkan

Setiap kifarah ada ganjaran

Pekat malam kesusahan pasti tersingkap

Ada jalur-jalur sinar di balik awan kelabu

Menunggu saat mengamburkan harapan

Aku sedar bahawa ya Tuhan

Tidak semua yang ku mahu..


Apa yang Allah telah ambil dari kita, pasti akan Dia gantikan dengan lebih baik.. Yang penting, teruskan mujahadah.. Berbuat hanya kerana Allah dan saling menguatkan antara kita.."

"Jazakillah ya ukht, sama-sama kita berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran.. InsyaAllah, ayuh berbuat lillahi ta'ala.."

Thursday, April 15, 2010

Monolog Hati



Hatiku bersenandung duka

Rintihanku pada Yang Maha Pencipta

Pada tiap malam sepertiga

Saat manusia dibuai lena

Hatiku meronta-ronta

Perasaan rinduku yang kian ketara

Munajatku padamu tak pernah ku lupa

Dalam tiap-tiap kudusnya doa

Tak sabar rasanya detik bersua


Ujian ini bukti cintamu

Pada aku hamba yang hina

Biar sakit hingga ke hulu

Namun hanya padamu tempat ku meminta

Kerna kutahu tiada suatu yang sia-sia

Datang dariMu Yang Maha Kuasa


Kubaluti hati ini

Dengan selendang putih kesabaran

Kupujuk jiwa nan suci

Dengan janji-janji Tuhan

Biarlah sedu sedan ini

Kutangisi pada yang berhak

Moga dengan rahmat dan kasihNya

Berikan ku secebis ketabahan

Kerna ku pasti segala kejadian

Telah tertulis pada lembaran buku suratan


Bermonolognya hati

Segera menginsafi

Satu persatu diselami

Banyaknya khilaf tak terperi

Kuyakinkan diri

Bahawa dugaan ini hanya gerimis pagi

Kerana pabila sinar mentari mencium dahi

Terbitlah pelangi yang dinanti


Kau sentiasa di situ

Tak pernah kemana-mana

Hanya aku yang merasa Kau jauh

Namun hakikatnya di sisi cuma

Kau sentiasa ada

Menemani ku dengan kasih yang paling dalam

Yang selalu mengiringi tidur ku yang sepi

Yang menjaga ku tika ku lemah

Yang menyambut ku bila ku tersungkur


Monolog kalbu ini menampar diri

Butanya aku dalam celik

Tersesatnya aku dalam terang

Tak pernah aku jelajah hati ini

Ternyata ada kalimah indah yang tersembunyi

Yang perlu aku cintai

Yang wajib aku imani


Kudambakan segenggam tabah

Ku harapkan sinar hidayah

Agar dapat kusulaminya menjadi tenunan yang indah

Lantaran letih menjadi hambaNya yang lemah

Melihatkan nafsu berpesta meriah

Kerana aku mudah tersungkur rebah

Tiada guna lagi menangis

Tiada guna lagi bersedih

Hanya berbekal doa yang tulus

Kupohon rahmat kasihMu

Wahai Tuhan Yang Maha Kudus



Tuesday, March 30, 2010

Konvo...


Dengan Nama Allah Maha Pengasih Maha Penyayang..

Alhamdulillah..dengan izin Allah, ana telah melepasi moment yang paling mendebarkan, membahagiakan (buat masa ni..) iaitu hari Konvokesyen UTM kali ke 44..

Alhamdulillah, ana tidak keseorangan memakai jubah konvo & mengambil ijazah kerana ana ditemani oleh dua orang akhwat lagi yang sama-sama berkongsi rasa gembira menaiki pentas yang disaksikan oleh ibu bapa tercinta serta para pensyarah yang sangat banyak membantu agar dapat menyempurnakan pengajian di UTM..(dengan susah payah nak grad). (T_T)

Walaupun tidak bersama classmate dalam acara perarakan masuk graduat, namun wajah-wajah akhwat tersayang menguatkan langkah ini..

Dedikasi buat akhwat tersayang kerana Allah, moga antunna dapat buat yang terbaik untuk pengajian antunna. Kami first batch yang grad dulu, cabaran yang bakal mendatang lebih getir. Kami menantikan hari konvokesyen akhwat beramai-ramai untuk bulan Ogos nanti..

Semoga Allah menguatkan langkah kita semua selagi ikhlas hanya keranaNYA..Amiin..

**Jazakillah buat Murobbiyah tercinta serta akhwat tersayang atas jambangan bunganya..Moga akhwat dapat gerai bunga next konvo..**

Saturday, March 20, 2010

Engkau Memang Cantik Ukhti..



“Ukhti, enti beli berapa buku?”


“Ana beli 2 buah je.”


“Ok, nanti kita tukar-tukar ea.. Hmm..enti beli buku tentang apa?”


“Hehehe..buku ni. Engkau Memang Cantik.”


“Aik!? Buku motivasi ke? Kenapa beli buku ni? Enti tak yakin dengan diri sendiri ke?”


"Tak lak..Hehehe.."


……………………………………………………..


Kesempatan berjaulah ke Bangi digunakan dengan sepenuhnya oleh penulis dan seorang akhwatnya. Asbab sudah lama tidak berkunjung ke kedai buku Fajar Ilmu Baru yang terletak berhampiran Masjid India, ketika sampai di sana, 2 orang akhwat ini seakan rambang mata melihat koleksi buku yang pelbagai. Sudut pertama sekali yang mereka pergi pastinya sudut buku dakwah dan haraki.


Setelah 1 jam lebih berlegar-legar disegenap ruang sudut kedai tersebut, akhirnya mereka masing-masing memilih 2 buah buku sebagi ole-ole bermakna untuk menambah tsaqafah. Mahu saja beli lebih daripada dua namun, ongkosnya ngak cukup...


Salah satu buku yang dibeli adalah “Engkau Memang Cantik – Kerana Kamu Tidak Pernah Tahu Betapa Cantiknya Dirimu.” Karya tulisan Burhan Sodiq.


Pada mulanya agak melucukan dan dipandang sepele pabila melihat buku itu, namun apabila di baca, banyak benar input yang diperoleh.


Sedikit perkongsian daripada buku ini untuk tatapan wanita di luar sana khususnya buat wanita bergelar seorang AKHWAT.


.........................................


Dikisahkan seorang ikhwah yang baru menikahi seorang akhwat, ternyata banyak perkara yang membuatnya terkejut. Antaranya berkaitan tata rias (kosmetik).


Selesai diijab kabul, ia pun masuk ke kamar. Dilihatnya sekeliling. Hanya ada beberapa barang sahaja. Dilihatnya di atas meja solek. Hairan.. tiada satu alat solek pun berada di atas almari tersebut. Hatta bedak talkum. Barulah ia tahu bahawa isterinya sangat zuhud dalam berhias. Bimbang tabaruj...


............................................


Itu adalah salah satu kejadian yang biasa berlaku. Seperti biasa apabila ketemu dengan sesosok akhwat muslimah yang berudung labuh, mantap dakwahnya, dan sesuai dengan syar’i namun mempunyai masalah dengan penampilan.


SOLEHAH TAPI TAK INDAH.


Terngiang-ngiang di cuping telinga tatkala murobbiyah tercinta berkata tentang akhwat yang mempunyai akhlak yang baik, dakwah yang mantap, kudus, solehah namun tak indah. Kerana apa? Kerana tidak kemas, selekeh, baju dan tudung yang berkedut, kusut masai...


“Ish, enti ni pakai berlebihan la. Tabaruj nanti.”


... Tidak ukhti. Islam itu indah dan Allah sukakan keindahan..


Seharusnya sosok akhwat apatah lagi seorang da’iah yang mengajak orang kepada Allah siang dan malam, memiliki peribadi dan sosok persis seorang bidadari. Bukan bermaksud memakai bedak cap cina opera setebal 2 inci atau memakai pakaian yang bergemerlapan atau memakai wangian yang bisa melumpuhkan deria bau orang yang menghidunya, tapi berhiaslah dengan bersederhana, mengikut syariat dan menyebabkan mad’u bisa untuk tsiqah dengan apa yang didakwahi.


Mungkin ada yang pernah berkata,.


“Alah, ana pakai sandal RM7 yang jual kat pasar malam, genap 3 tahun pun dah ok pe.. tak payah beli mahal-mahal. Membazir..”


“Ana rasa tak de la pelik kalau pakai jubah warna brown dengan tudung warna hijau.”


Ish, ukhti.. itu bukan taknak menarik perhatian orang tapi lagi menyebabkan orang pandang aneh. Jika kita mempunyai keinginan yang sangat tinggi pada mad’u yang didakwahi untuk mengikuti taklim, apalah salahnya begitu juga keinginan kita untuk tampak indah pada pandangan mereka (sekali lagi dengan mengikut syariat). Boleh saja jika mahu memakai sandal RM7 selagi mana ia masih elok, tidak berlubang di tumit mahupun berlumut , tapi adalah baik jika tampak kemas dan indah.


Pernah penulis terbaca dalam satu forum berkaitan da’i dan penampilan. Sangat terkesan kata-kata salah seorang forumer. Lebih kurang macam ni la katanya,


“Tak salah nak pakai pakaian mahal-mahal mahupun murah. Tapi perlu bersih dan kemas. Takkanlah waktu kita datang ziarah ke rumah anak halaqah, jumpa famili dia dengan pakai pakaian yang selekeh, nanti apa pandangan mak ayah dia? ‘Orang macam ni yang nak dakwah anak aku?’”


Berlebihan dalam berdandan, menggunakan bedak hingga sekian sentimeter tebalnya bukan tambah cantik malah tambah MENGERIKAN!!


......................................


Dikisahkan lagi sebuah kisah perjalanan menaiki kereta yang salah satu penumpangnya belum mandi. Wuih...bau kereta seolah-olah mahu menghujam mati oleh bau badan seorang ikhwan tersebut.


......................................


Mengapa kita bisa menyiksa orang yang berada disekeliling kita dengan bau yang bisa melumpuhkan deria bau orang lain? Mungkin agak kasar, tapi ia satu hakikat yang sering terjadi di sekeliling kita. Benar??

Muslimah yang taat dan patuh kepada syari’at yang telah Allah tetapkan, tidak seharusnya membiarkan dirinya tidak terawat.


Mungkin tidak perlu ke spa atau salon untuk merawat tubuh tapi ada cara yang lebih sederhana iaitu:


1. Gantilah tudung sehari sekali

Kalau boleh elakkan memakai tudung yang telah basah terkena peluh dan kemudian mengering. Peluh yang kering belum tentu tidak berbau malah boleh jadi baunya melebihi bau peluh yang asli.. Huish..


2. Ganti baju

Baju adalah pakaian yang paling utama untuk diganti supaya bau peluh yang terkena pada baju tersebut tidak tersebar ke seluruh dunia.. Tapi kalau masih bersih, tafaddali masykuro..


3. Pakai deodorant.

Banyak jenama deodorant yang telah ada dipasaran. Yang penting jangan beli barangan boikot. Daripada semurah-murah deodorant hingga semahal-mahalnya. Berkorban la ukhti..tak mengapa..asal demi kesejahteran umat..


4. Mandi

Ini lagi satu penyakit yang banyak menebar dikalangan orang termasuk golongan aktivis dakwah. Kerana sibuknya dia membuat taklim, halaqah, program, ziarah, liqo’ hingga tiada waktu untuk mandi. Kadang-kadang sengaja bertangguh-tangguh, katanya “baru lepas makan, nanti perut buncit.”, “Jap lagi, masih berpeluh ni. Nanti kena panau pulak kalau mandi time ni”. Agak kelakar juga bila mendengar alasannya.


......................................


Dikisahkan lagi dalam buku tersebut, seorang akhwat yang berjalan sendirian menuju ke satu tempat usai pulang dari kursus bahasa arab di masjid. Ketika itu, sudah lewat petang menjelang maghrib dan cuaca agak mendung kerana baru usai hujan berhenti. Sementara ia berjalan, datang dari arah berlawanan seorang ikhwah yang menuju ke masjid itu.


Sebagaimana biasa seorang akhwat itu biasanya jika terserempak dengan seorang ikhwah seolah-olah bertemu dengan seekor harimau yang siap menerkam. Akhirnya untuk menjaga pandangan ia menunduk-nunduk bak seorang puteri yang malu. Sehinggakan ia sangat berhati-hati hingga bahkan sengaja memilih jalan yang paling tepi. Akhirnya...”Byurrr...!!” akhwat itu terjelepok jatuh ke dalam lubang. Dengan rasa sakit ia meminta tolong. Orang pertama yang menolongnya kalau bukan siapa lagi, itulah sosok yang menakutkannya tadi...


......................................


Itu kisah yang diceritakan di dalam buku itu, namun pengajarannya mungkin sesetengah daripada kita terlepas pandang satu perkara. Kalau sama ikhwan yang berjanggut dan berketerampilan mengikut syar’i, seorang akhwat pasti sangat tegang, dingin, garang dan menjaga diri. Tapi kita sering terlupa itu semua apabila bertemu rakan sekelas, penjual air, penyewa kereta sewa, mungkin tak setegang bertemu ikhwan. Hmm..


Mungkin sebab hati-hati menjaga hati. Takut jatuh hati. Wallahua’lam.


Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya..” (24:30-31)


Dedikasi khas buatmu ukhti..


Akhwat sejati bukanlah dilihat dari wajah yang manis dan menawan, tetapi dari kasih sayangnya karib kerabat dan orang yang di sekitarnya. Pantang baginya menjaja aurat dan mempamerkannya pada sesiapapun kecuali pada mahramnya. Dia yang sentiasa menguatkan iltizam manjaga kemuliaan diri, keluarga serta agamanya.


Akhwat sejati bukan dilihat dari suaranya yang lembut dan mempersona, tetapi dari lembut dan tegasnya tutur dalam mengatakan kebenaran. Dia yang sentiasa menjaga lisan dari ghibah dan namimah. Pantang baginya membuka aib saudaranya. Dia yang memahami dan merasakan benar bahawa Allah sentiasa mengawasi segala tidak-tanduknya.


Akhwat sejati bukanlah dilihat dari merdunya suara saat bertilawah al-Quran dan banyaknya hadiths yang dihafal, tetapi dari keteguhan dan istiqamahnya mengamalkan kandungan keduanya. Dia yang selalu mengajarkan pada yang belum memahaminya. Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan sebagai suluh penerang serta tapak dalam menyulusuri lorong-lorong gelap hidupnya.


Akhwat sejati bukanlah dilihat dari tingginya jawatan yang disandang serta luasnya tsaqafah ataupunlincahnya ia bergerak dalam dakwah, tetapi tingginya ghirah (semangat) untuk menuntut ilmu dan mengamalkan syariat secara murni dan berkesinambungan. Ilmu yang bermanfaat adalah tongkat yang ia pegang.

Menjadi akhwat sejati, niscaya akan membuatkan para bidadari cemburu, menjadi dambaan bagi mereka para pemilik ruh dakwah dan jihadiyah, serta para hamba Allah yang tidak tertipu oleh gemerlapnya dunia yang sementara..


Aku mahu menjadi akhwat sejati yang persis Khadijah, Aisyah, Hafsah, Maimunah, Safiyah, Fatimah az-Zahra dan para sahabiyah radiallahu ‘anha ajma’in.