Thursday, June 30, 2011

Ta'aruf


Bismillahirrahmanirrahim..

"Ukht, mari sekejap." kata murobbiahku mengajak bercakap ke bilik belakang usai halaqah pada petang ramadhan itu.

"Ada apa kak?"

"Ana nak tanya, enti kenapa tak hantar resume lagi?". Terfikir..resume apa? Tak kan resume minta kerja..Ni mesti resume 'BM'.

"Ooowh..ana punya simpanan tak cukup lagi la kak.."

"Tak pe..sekarang enti hantar je dulu resume tu.. Ana nak bagitahu enti ni, ada sorang ikhwah nak ta'aruf. Keluarga enti ok tak kalau enti ta'aruf?"

Eeerrghh...TA'ARUF??? Menyirap darah ku ketika itu..Macam nak pengsan. Betul ke apa yang ku dengar?? Siapa ikhwah yang nak ta'aruf dengan aku tu?? Ish..

"Famili ana ok je. Ana dah lobi lama dah. Lagipun diorang tsiqah dengan ana walaupun duk jauh."

"Ok, kalau macam tu enti tanyakan lagi sekali pada parent enti, mereka benarkan tak enti ta'aruf dalam masa terdekat ni. Jangan lupa hantar resume pada ana ya. Kalau boleh ASAP."

"Ok..Ok..InsyaAllah.."

Petang itu, aku pulang dari halaqah dengan jantung yang sentiasa berdegup kencang.. Esok pagi aku kena bagi tazkirah subuh pada akhwat.. Tak tenang rasa..

"Ish..ana takut la..tetiba jantung ni berdebar-debar." kataku ketika di atas moto untuk terus ke masjid kerana program Mabit telah bermula.

"Kenapa pulak ni ukht?" terdengar pula akhwat yang membonceng di belakang ku..

Alamak..nanti kantoi pulak kalau bagitahu..

"Urmmm..ana takut & berdebar nak kasi tazkirah subuh esok.." Alasan mengelat sebenarnya..padahal ada benda lain yang dirisaukan.

"Alaa..rileks la ukht..enti kan dah biasa.." katanya

"Hurmm..ye la.."

Malam tu, aku tak dapat tidur mengenangkan pelbagai persoalan dan kerisauan.. Disebabkan tak boleh tidur, aku menyiapkan resume yang akan ku hantar pada murobbiah ku..

Selesai sahaja program Mabit, aku dan seorang akhwat serumah terus pulang ke rumah. Di rumah, aku terus menelefon mak dan abah untuk meminta izin untuk dita'arufkan. Mak tak ada masalah. Abah pun ok cuma abah sedikit bingung kenapa tergesa-gesa. Bila ditanya dengan siapa aku akan ditaarufkan,soalan itu tidak dapat ku jawab kerana aku sendiri tidak tahu siapakah ikhwah itu.

Setelah selesai menghantar resume dan mendapat izin..Aku menanti detik untuk dita'arufkan dengan penuh debaran.. 3 hari sebelum Hari Raya, aku masih di Johor. Malam itu, handphone ku berdering.. Tetiba jantung berdebar.. Alamak kenapa takut semacam ni.. Siapa pulak yang call ni.. Ternyata dialah murobbiah ku.. Bertambah kecut perut mahu menjawab panggilan itu..

"Assalamualaikum kak, ya ada apa?"

"Wa'alaikum salam.. enti kat mana ni"

"Di rumah..baru lepas makan."

"Ada akhwat di situ..? Boleh cakap ke ni?"

"Ana kat atas, akhwat kat bawah. ana sorang je sekarang. Cakaplah kak."

"Macam ni..tentang ta'aruf tu..ana nak tanya enti boleh bila? Kalau buat sebelum enti balik kampung esok malam boleh??"

Ulllrp...errrr...cepatnya..bersediakah aku???

"Hmmm..ana rasa better buat lepas raya kot..boleh la ana explain pada famili lagi.."

"Hrmmm...tak pe la kalau macam tu.. Hmmm..ana nak tanya enti nak tahu ke nama ikhwah tu?"

"Ullrrp...errrr...tak nak lah..ana takot.."

"Tapi zauj ana suruh ana bagitahu.."

"Ana tak nak kak, takooot...takut tak dapat jaga hati.."

"Jap eh..kalau zauj ana nak cakap dengan enti jap boleh??"

"Errr...boleh la"

Ganggang telefon beralih tangan..

"Ukhti, sebenarnya enti kena tahu siapa ikhwah tu supaya enti dapat nilai.."

"Hrmm..ya"

"Boleh ke ana bagitahu ni?? Enti berhak tahu sebenarnya."

"Ok"

"Nama dia .............. Enti kenal?"

Entah tetiba rasa pendengaran seakan tuli seketika..

Bla..bla..bla..bla..
.................
................
..............

Perbualan berakhir..alamak siapa ikhwah yang akan taaruf dengan aku tadi ahh?? Nape tetiba tuli sekejap..Tak apalah..

Malam tu, sukar benar mahu lelapkan mata..Banyak benda yang difikirkan..

Selepas balik bercuti beraya di kampung..lama juga menunggu untuk ditaarufkan..bukan apa, keluarga yang risau jadi atau tidak? Siapa orangnya, umur berapa? Dah keja atau masih belajar? Bujang atau duda? Asal mana? Mak ayah ada lagi tak? Semua persoalan tu aku tak dapat jawab..

Lebih kurang sebulan lebih, baru murobbiahku memberikan jawapan.. diaturnya pertemuan di rumahnya pada petang ahad ba'da asar. Asalnya aku menolak untuk ta'aruf pada hari itu kerana lazimnya aku harus ke sekolah untuk mengadakan halaqah mingguan..Tapi setelah berfikir kembali..aku bersetuju. Ada akhwat lain yang akan meng'handle' halaqah sekolah ku pada petang itu.

Sepanjang hari itu, hati tak tenang..hampir 4 juz aku habiskan sementara menunggu petang menjelang..

Petang itu, sesampainya aku di rumah murobbiahku, aku terus ke bilik belakang menunggu. Sambil memeluk erat Al-Quran ke dada. Moga Allah permudahkan segalanya..Moga Allah tenangkan jiwa hambaNya ini. Moga Allah meluruskan niat hambaNya ini.. Moga segalanya keranaNya..

Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin moto tiba di rumah itu..Jantung semakin kuat berdegup..Astaghfirullah...astaghfirullah..astaghfirullah.. Istighfar, zikir dan segala doa telah kuucapkan supaya tubuh ini dapat tenang..

Kedengaran ada suara memberi salam. Suami murobbiahku menjemputnya ke dalam. Aku dan murobbiah tunggu di bilik belakang. Aku memohon pada murobbiah agar tirai tabir dipasang sepanjang ta'aruf.. Alhamdulillah diperkenankan permohonan.

Setelah itu, kami dipanggil ke ruang tamu untuk sesi ta'aruf dan berlangsunglah proses ta'aruf petang itu..

Sebelum proses ta'aruf berakhir, ikhwah tersebut meminta izin menyelak tabir untuk melihat wajah ku..

Alamak!!!....malunya...

Ku tundukkan wajah lalu membenarkannya..terdengar tabir diselak..wajahku masih menunduk..tak mampu untuk mendongak..

"Afwan, ana nak tanya tinggi enti berapa?"

"160cm" jawab ku ringkas..

"Ok"

Kemudian tabir ditutup.. Alhamdulillah selesai..akhirnya sebulan selepas itu kami bertunang..dan melangsungkan pernikahan 2 bulan setelah itu...Alhamdulillah...

Bagi kebanyakkan akhwat yang masih menunggu, mungkin kisah ini antara yang lazim berlaku sebelum sesi ta'aruf dilakukan. Ibrah yang ana ingin kongsikan adalah adab-adab yang perlu ada sebelum meneruskan hingga majlis akad nikah. Menggunakan orang perantara yang dipercayaai adalah salah satu cara dalam menjaga hati. Namun wanita yang menjadi perantara mestilah mempunyai ciri-ciri seperti berkeperibadian yang kuat, terkenal berpengalaman dan bijak, beragama baik, dan mengerti watak wanita.

Cinta yang dilandaskan syariat pasti mendapat keredhaan Allah.. Alhamdulillah kerana Allah memberiku kesempatan untuk merasa indahnya bercinta yang selama ini tidak pernah kurasakan sebelum pernikahan. Nikmatnya lebih barakah..

Seorang wanita yang dibentengi dengan sifat malu lebih berharga dari mutiara yang tersimpan di dalam cengkerang..

...............................................................................................................................

1 Message received

["Waktu terkadang lambat bagi yang menunggu, dirasakan cepat bagi yang gundah gulana, dirasakan panjang bagi yang takut dan dirasakan pendek bagi yang sedang menikmati kesenangan. Bagi yang mengisi waktu sebaik mungkin, ia adalah kunci kepada kejayaan kehidupan. Semoga bermula di pagi yang cerah ini, Allah memberi kemudahan bagi dirimu untuk menjaga waktu-waktumu. You will never walk alone in the line of dakwah - because INNALLAHA MAANA"] 07:15 AM; 04/12/2010