Tuesday, March 15, 2011

Siapa kuat?

Bismillahirrahmanirrahim..

Dikisahkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Ahmad;

Tatkala Allah swt menciptakan Bumi, maka Bumi pun bergetar. Lalu Allah pun menciptakan gunung dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata Bumi pun diam.

Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya,


"Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung?"


Allah menjawab, "Ada, iaitu BESI."

(kita maklum bahawa gunung batu pun bisa menjadi rata ketika diluluhratakan oleh buldoser atau yang sejenis dengannya yang bahan asas buatannya adalah besi.)


Para malaikat pun kembali bertanya,

"Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi?"

Allah Yang Maha Suci menjawab, "Ada, iaitu API."
(Besi boleh menjadi cair dan mendidih jika dikenakan haba (api) yang sangat tinggi).


Bertanya kembali para malaikat,

"Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu AIR."
(Api yang marak menyala pun, niscaya akan padam jika disirami oleh air).


"Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air?" Kembali bertanya para malaikat."


Allah menjawab, "Ada, iaitu ANGIN."

(Air di lautan luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang sangat dahsyat, mengumbang-ambingkan kapal dan perahu yang tengah belayar, tiada lain kerana dahsyatnya kekuatan angin. Ternyata angin memiliki kekuatan yang amat dahsyat)


Akhirnya para malaikat pun bertanya lagi,


"Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dari semua itu?"


Allah yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa menjawab, "Ada, iaitu AMAL ANAK ADAM yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya."
______________________________________________


Ini bermaksud, orang yang paling hebat dan paling kuat adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus dan ikhlas tanpa ada unsur riak ataupun keinginan untuk diketahui oleh orang lain.

Inilah gambaran yang Allah berikan kepada kita bagaimana seorang hamba yang ternyata mempunyai kekuatan yang luar biasa adalah hamba yang bersedekah, tetapi tetap ikhlas. Kerana naluri kita sebenarnya selalu rindu akan pujian, penghormatan, penghargaan dan ucapan terima kasih. Kita pun selalu teringin untuk mempamerkan segala apa yang ada pada diri kita ataupun segala apa yang mampu kita lakukan. Apalagi kalau yang ada pada diri kita atau sedang kita lakukan itu berupa kebaikan.

Jadi sahabat sekalian..Orang yang ikhlas adalah orang yang mempunyai kekuatan, ia tidak akan kalah pada tuntutan hati yang barangkali telah dihasut sang syaitan.. Allahuakbar.

rujukan: A.Agym

No comments:

Post a Comment