Sebelum Subuh lagi Aku bangun untuk bersiap-siap ke masjid. Aku suka solat Subuh di masjid kerana Aku dapat solat berjemaah. Selalunya yang datang hanya seorang pensyarah dari Fakulti Alam Bina. Aku gelarkan dia sebagai Puan sahaja. Kadang-kadang ada juga Kakak dari Indonesia berjemaah. Selain itu, usai solat berjemaah pasti diadakan tazkirah oleh ahli masjid yang bertugas. Tapi pada hari tersebut, dengan mata yang bengkak kerana tak cukup tidur, aku jalan terhuyung-hayang menuju ke masjid setelah meletakkan motor di kawasan berdekatan & usai mengambil wudhuk dari bilik. Selesai solat berjamaah, Aku berzikir sebentar dan membaca ma’thurat kubra sambil 'menunduk-nudukkan kepala' tanda sangat 'khusyuk' dalam bacaanku. Tazkirah pun sayup-sayup kedengaran. "Alahai.. mengantuknya. Balik bilik je la. Boleh landing kejap sebelum ke kuliah.."
"Hei...! Awak mengantuk lagi, pergi basuh muka", tegur pensyarahku. Mata Aku cerah semula. Ramai pelajar tersenyum sinis memandangku. "Alamak... kantoi lagi aku dengan Prof.", getus hatiku. Aku membuat muka selamba seolah tiada apa-apa yang berlaku. Pensyarah itu meneruskan kuliahnya walaupun mata aku masih lagi 'bergelombang' sayup-sayup layu mata memandang.
Sedang mendengar kuliah dengan mata kemerah-merahan, kadang-kadang tersengguk-senguk juga, handphone Aku vibrate menandakan ada call atau sms dari seseorang. "Salam. Ukhti, jangan lupa 10.15 malam ni ada liqo’ di masjid, aras jemaah muslimat." Begitulah pesanan sms yang tertulis dari rakan sehalaqahku. "Liqo’ lagi...", keluh hatiku. "Malam tadi dah halaqah, malam ni liqo’ pulak", tambah hatiku. Selesai hantar tugasan dan kuliah 'tidur' jam 10.30 pagi, Aku meluru ke motor sambil membelek buku kecilku jika ada perkara-perkara yang perlu dilakukan.
"Ishh... Yang ni tak buat lagi, yang ni pun tak buat lagi. Hari ni dah Khamis, program hari Sabtu. Apa aku nak jawab dengan mereka malam nanti?" tanya hatiku. Mahu tak mahu Aku pulang ke bilik. Aku membuka komputer sambil menaip-naip sesuatu dan dalam masa yang sama sambil memicit kepalaku. "Ok. Kuliah lambat lagi. Pukul 2.00 petang. Boleh aku siapkan kerja aku ni", cetus hatiku sambil melihat jam tanganku yang menunjukkan pukul 11.00 pagi.
Setelah dua jam berhempas pulas, akhirnya kerja berkaitan dengan program Sabtu terdekat selesai. "Alhamdulillah..." syukur padaNya kerana memudahkan urusanku. Aku cukup yakin akan pertolongan Allah bagi orang yang menolong agamaNya. Selesai solat Zohor, Aku bergegas ke fakulti untuk kuliah. Dengan selamba Aku masuk ke kelas. Belum sempat Aku duduk dan bertegur sapa dengan kawanku, pensyarah berkata,
"Ok kelas, kita ada kuiz sekarang. Sila tutup buku dan nota".
Hilanglah selamba Aku apabila mendengar perkataan keramat itu. Mulutku ternganga kelu tanpa kata. "Habis la aku kali ni... Satu apa pun aku tak baca", kata hatiku.
Timbullah suara-suara jahat Azazil:
"Itulah kau. Sibuk halaqah, liqo, ta’lim, program memanjang sampai belajar entah ke mana. Kalau kau belajar saja kan bagus. Mesti kau boleh score punya. Halaqah, ta’lim, liqo’, program ni lepas belajar pun boleh buat. Malam esok kau pulak ada ta’lim di kolej A. Bila pulak kamu nak study? Haa.. Jawab, jawab...!".
Aku tak jawab apa-apa oleh kerana kagetnya sambil mulut ternganga. Lebih jahat lagi Azazil menghasut:
"Kamu nak mintak tolong siapa sekarang. Murobbiyah tak dapat tolong kamu. Akhwat pun tak dapat tolong kamu. Allah tak tolong kamu. Fail nanti kamu jugak yang susah."
Walaupun sedang dilema, Aku meneruskan kuiznya sekadar yang termampu.
"Enti mesti istiqamah dalam perjuangan...", kata Murobbiyah setelah Aku mengadu masalahku. "Belajar tu wajib. Enti mesti bersedia sepanjang masa", tambahnya lagi.
"Tapi.., macam mana? Setiap hari ada saja kerja yang perlu dibuat sampai tak sempat nak study. Report inilah, task halaqah lah, gi ziarah lah, cari mad’u lah..ada je..", kata Aku.
"Masing-masing diberikan masa secukupnya, cuma kita yang tak pandai menggunakannya", jawab Murobbiyah.. "Banyak lagi masa yang kita ada. Cuba enti kira, berapa lama berbual-bual dengan kawan? Berapa lama melayari internet? Berapa lama pergi shopping? Berapa lama makan di kafe?" tambahnya.
"Semua itu pencuri masa kita. Kurangkan masa-masa tersebut dan enti pasti ada masa untuk study", tegasnya.
Lantas Murobbiyah berpesan kepada Aku sebelum pulang dari Halaqah:
"Jangan salahkan perkara atau orang lain jika salah itu datang daripada diri kita sendiri. Salah kita kerana tidak pandai menguruskan masa. Orang lain pun lebih sibuk daripada enti dan ia juga berjaya dalam pelajarannya. Sungguhpun adakala ada masalah dengan akademik tapi dakwahnya mantap..Ia juga diberi 24 jam sehari seperti enti."
Amat tepat sekali jawapan Murobbiyah kepada Aku dan menimbulkan kembali semangat juangku untuk Islam dan tidak melupakan masa untuk belajar.
Namun, Aku bertanya: "Siapa orang lain yang berjaya tu Ukhti?". Dengan selamba Murobbiyah menjawab: "Ana la orang lain tu. Nak bagitau nama orang lain ana tak tahu...", sambil senyum meleret pada Aku hingga ternampak gigi. "Terima kasih atas nasihat mu Ukhti", kata Aku sambil tersenyum. Aku pulang bersama mutiara berharga dari Murobbiyah yang juga cemerlang dalam Dakwah dan... AKADEMIK. InsyaAllah...
Kadang-kadang, bila futur mengintai-intai menyerang hati para da’ei/da’iyah, dan ketika itu pula banyak mutaba’ah yang tak selesai, iman rasa down sangat...tolonglah wahai da’ei/da’iyah..tolonglah segera merawatnya.. jangan biarkan rasa kelelahan dalam menggalas tanggungjawab menjadi hambatan pada gerak kerja dakwah. Biar di mana pun kita diletakkan. Sama ada medan dalam mahupun luar, yakinlah wahai Ukhti bahawa itu adalah yang terbaik untukmu. Jangan pernah berharap dikurangkan kerja yang mulia ini, tapi terimalah ia sebagai satu ujian untuk meninggikan lagi darjat kita. Hanya yang terpilih sahaja akan melalui jalan ini. Allah tidak akan mencemari jalan suci ini dengan hati-hati yang telah dicemari. Proses filteration akan sentiasa menghambat kita. Menguji di mana kesungguhan kita terhadap tugas ini. Kata-kata ini pertamanya buat diriku sendiri, yang kedua buat diriku juga dan yang ketiga sekali lagi buat diriku. Seterusnya kata-kata ini ku tujukan buat dirimu wahai da’ei/da’iyah..
"Masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita."
(Pepatah Arab)
“Bila dirimu bergelar DA’IE, maka kau wajib sedar, bahawa jiwamu tidak boleh selamanya REMAJA”
– Hassan al-Banna –
Tanggungjawab melebihi masa yang ada. Dan tarbiyah yang disalutkan ILMU dan CABARANlah yang dapat mendewasakan dirimu. Tapi cukupkah jika sekadar menerima tarbiyah? Sampaikanlah pada SYABAB, sedarlah wahai FATAYAT, kalian bukan pemula perjuangan ini dan bukan pengakhirnya tapi kalian adalah mata-mata yang menjadi penyambung perjuangan RASULULLAH dan para SAHABAT..
No comments:
Post a Comment